Generasi Moden, Aku Kasihani Kamu… 18

“Yerla, aku tulis ni…” – beck“
Generasi moden, aku kasihanimu bila hari raya. Kenapa? Baca-baca… Dan kawan-kawan segenerasi, mari ketawakan mereka…
Setelah menulis tentang puasa di zaman kanak-kanak, aku amat tertarik dengan kenyataan MohdIsmail di entri Lagu Raya di blog AhmadRidzuan a.k.a Duez tentang dunia sekarang semuanya sudah segera, mee segera, artis segera, dan segala-galanya. Terlintas di fikiranku tentang untungnya berhari raya bagi generasi ku.
Generasi ku, boleh dikatakan generasi perubahan, dari era tradisional kepada modenisasi. Kami dapat merasa, pro dan kontra setiap era dengan jelas kerana kami mengalami kedua-dua era ini dalam sebahagian besar hidup kami.
Ini adalah soalan terus kepada generasi baru…
Pernahkah kamu merasa kemeriahan dan perasaan yang melonjak-lonjak untuk pulang ke kampung. Mengambil perjalanan yang 7-8 jam menaiki kereta (sebelum ada lebuhraya PLUS), bas atau keretapi (aku suka sangat) ke kempung halaman anda ketika hari raya. Yang sebelum itu dituruti dengan rasa gusar takut-takut tiket sudah kehabisan? Pernah kah? Kerana sekarang aku melihat generasi baru hanya suka berhari raya di kota besar, malah ada yang bercuti/melancong keluar negara pada hari raya! Woh! Rugi, rugi sangat. Apa yang ada di kota Paris ketika pagi hari raya? Melainkan tempat membeli belah yang bercambah di Malaysia. Kasihan…
Pernahkah kamu mengalami seronoknya tidur lewat 4-5 hari sebelum raya untuk membantu nenek, ibu, makcik dan kakak mu di dapur menyiapkan kuih biskut untuk juadah hari raya? memukul telur sehingga tepu, menyukat tepung, menjaga api oven (dulu takde microwave wei…). Seronok. Rasa bangga bila di hari raya, ibu menyebut nama ku dalam senarai pembantunya kepada tetamu. kalut mencari bahan yang tidak ada untuk membuat kuih, mencari daun palas untuk membuat ketupat. Berulang ulang mengangkut air batu dengan basikal untuk disimpan didalam peti ais. Suasana raya sudah terasa bila melihat jiran-jiran sibuk mengemas laman dan rumah mereka.
Bermain meriam tanah dan mercun diperkarangan rumah nenek. Ayah dan Paktih berperlakuan seperti kanak-kanak. melayan karenah aku dan adik-adik ku. Tidak ada pula waktu itu kes-kes putus jari atau mati kerana main mercun. Sedangkan bebudak kampung berperang perang bermain meriam buluh. Jarang ada yang cedera. Jarang sangat. Teringat lagi kejadian dilibas dengan tali pinggang celoreng bapak aku, kerana membeli mercun dengan hampir keseluruhan duit raya. habis balar balar dan muka berubah rupa. Tetapi yang bestnye, ayah ku panggil selepas itu, dan menyapu minyak ke badan. Rasa seperti dimanjakan. Kenangan…
Pernahkah generasi baru rasa air kolah yang sejuk seperti embun di pagi hari raya ketika mandi Sunat hari raya. Menggigil. Mengenakan baju melayu, bersongkok, sejadah di bahu sudah bersedia menunggu Tokwan ke masjid. DI masjid, melihat keletah kanak-kanak lain bermain di saf paling belakang. Rasa mahu ikut, tetapi takut disebat tokwan. Duduk diam mendengar bacaan Quran sebelum mulanya sembahyang.
Pernahkah generasi sekarang merasa duit raya tanpa perlu keluar berhari raya dari rumah ke rumah? Aku hanya duduk di rumah, menunggu sanak saudara, dan kawan-kawan pakcik makcik ku bertandang, dan dalam hari raya pertama, duit raya ku sudah cecah ratus ratus (duit inilah yang aku habiskan membeli mercun dalam satu malam, yang kemudiannya dilibas abah), lebih banyak dari mereka yang keluar beraya dari rumah ke rumah di kampung itu. Ah kenangan…
Hari raya dihabiskan dengan melayan tetamu, membantu emak di dapur. Bancuh air, basuh pinggan, atur kuih, biskut dan kek. Di televisyen, rancangan sarkis, telerama, konsert, dan diselang-seli dengan sdutan takbir raya. Adik adik duduk meniarap menyabung kaki. Baju melayu hanya dibuang jika terkena kuah rendang, atau hari sudah masuk Maghrib. Ah, baju melayu, sesuatu yang aku sangat sangat suka dari kecil untuk menggayakannya. Aku segak berbaju melayu… Betul…
3-4 hari di kampung amat indah. Ketika mahu pulang, Maktok dan Tokwan hulur duit lagi. Huhu~ Tapi ketika inilah yang sebaknya, bersalam untuk pulang, dan moga-moga tuhan panjangkan umur untuk berjumpa lagi gi lain kali… Ah, Kenangan…
Generasi baru, aku kasihani kamu. Dengan dunia moden dan hilangnya nilai tradisi budaya dalam hidup mu. Dengan adanya teknologi yang sedikit demi sedikit mengikis sedikit demi sedikit nilai nilai silaturrahim. Sebenarnya, telefon mudah alih, internet, tv kabel, dan sebagainya bukanlah elok seratus peratus. Mana tradisi salam bersalaman, mana tradisi kad raya, mana tradisi bertandang dan kunjung mengunjung. Aduh, aku kasihani mu generasi baru…
Untuk anak-anak ku, aku akan cuba terapkan nilai-nilai tradisi ini semula. Moga moga generasi masa hadapan, boleh kembali ke akar umbi nya. Lebih-lebih lagi sebagai Melayu…
Esok saja…
p/s:- Berkongsi cereka raya mu di sini. Mari…
Popularity: 13% [?]









