Archive for December, 2007

Tarik Nafas… 6

Hembus… (mengeluh!)
Di kala ini, aku sudah bosan untuk menulis…
Mahu berhenti…

Tarik nafas dalam dalam…
Hembus… (sambil mengeluh sayu!)

Esok saja…
Atau mungkin tidak.

Popularity: 9% [?]

Kemaskini Kehidupan… 10

img_7610-2.jpg
Otak tepu aku masih tidak dapat memproses fakta yang arwah sudah tiada. Masih ada masa kadang-kadang aku terkeluar bertanyakan kepada Mama, “Abah mana Ma?”, lalu menarik balik separuh dari ayat tersebut sebelum ia tersembul keluar dari diri aku yang masih tidak menerima realiti. Realitinya, Abah sudah tiada, dan sudah pergi meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya. Allah SWT lebih sayangkan Abah.

Apa yang aku takut sekarang, adalah tanggungjawab aku sebagai waris Abah. Aku masih mengira menolak tambah tanggungjawab aku, yang mana, aku sangat sangat takut tidak dapat melaksanakannya sebaik mungkin. “Ketua Keluarga” adalah satu tanggunjawab yang amat besar bagi aku. Mana aku mungkin berjaya menguruskan hal-hal sebesar ini, sedangkan diri aku juga masih tidah boleh diurus. Setiap kali habis berdoa untuk arwah selepas solat, perkara ini bermain-main di sudut fikiran aku. Rasa takut akan kegagalan timbul serta merta.

Kalau aku gagal, bagaimana dengan nasib ibu-ibu aku, adik-adik aku, terutama sekali Aisyah dan Nurul yang masih belum lepas.

Aku kasihan tengok Aisyah, walaupun dia nampak tabah, tetapi aku tahu, setiap pagi dia bangun tidur, dia menangis sambil menekup bantal ke muka agar orang lain tidak nampak. Begitu juga ibu-ibu ku, yang tidak pernah putus putus menyedekahkan Yassin kepada arwah, mereka juga acapkali bergenang air mata. Sabrina juga begitu yang sekarang punya delima untuk terus bekerja atau berhenti dari kerja lamanya dan mencari kerja baru (Sabrina bekerja di bawah Abah ketika arwah masih hidup).

Buat masa sekarang, aku hanya boleh menasihat dari jauh adik-adik aku. Kalau mereka terbaca perenggan ini, harap ambil pesan, dan ingatlah, nasihat aku ini, boleh dikatakan, serupa dengan apa yang arwah mungkin cakap jika arwah masih hidup. Kerana aku tahu, arwah mahukan yang terbaik untuk anak-anaknya…

Sabrina, terus bekerja. Jangan buat Mama susah hati. Jaga hati Mama elok-elok. Rezeki ada di mana-mana, tapi buat masa sekarang, terus bekerja dengan syarikat lama Abah. Menjaga keluarga ini pun, satu tanggungjawab kita bersama. Kita ada janji nak jaga keluarga ini elok-elok kan?

Amin, aku harap, kau berubahlah perangai kau. Jadilah yang elok-elok dan baik-baik. Sesungguhnya, arwah amat risaukan tentang kau. Berubahlah demi keluarga, kita sama-sama jadi anak lelaki yang bertanggungjawab. Berhentilah carik nikmat dunia yang tak ke mana. Jadi lah manusia yang berguna, kalau tidak untuk keluarga pun, jadilah untuk diri sendiri. Aku merayu pada kau…

Aisyah. Along harap, Aisyah jangan berhenti belajar. Arwah Abah mesti mahu Aisyah masuk universiti dan belajar pandai-pandai. Arwah Abah hantar semua anak dia belajar di Universiti. Masa depan terjamin, boleh jaga Mama dan Ibu. Jangan risau pasal keluarga, bukan beban adik semua ni. Aisyah belajarlah, arwah tentu bangga dengan Aisyah kalau Aisyah berjaya nanti. Tolong dengar cakap Along. InsyaAllah, Along akan sentiasa ada kalau Aisyah perlukan Along…

Nurul. Along doakan Nurul jadi anak yang soleh. Jadi orang yang pandai-pandai, bijaksana. Adik yang baik. Tak mahu nakal, jaga hati Ibu dan Mama. Jadi manusia berguna di masa hadapan. InsyaAllah, Along akan sentiasa ada kalau mahukan pertolongan Along.

Untuk Mama, Along janji akan jaga Mama sampai bila-bila. Jangan risau, masa depan anak-anak Mama dan Ibu, semua cerah-cerah. Kita usaha dan ikhtiar sama-sama. InsyaAllah.

Dan aku harap, Dhilla akan sentiasa memberi sokongan dari segi emosi dan sentiasa di situ bila aku memerlukannya, begitu juga dengan sahabat-sahabat dan sanak saudara yang lain, yang tak putus-putus menasihat dan memberi kata-kata semnagat untuk aku bersabar dan berusaha. Terima kasih.

Tetapi, aku masih rindu Arwah Abah…

Esok saja…

Popularity: 10% [?]

Buah Hati… 4

26122007a.jpg
Nurul Izzati Izzah.

Buah hati baru aku, baru masuk satu tahun 24 Disember lepas. Adik aku paling bongsu, hasil perkahwinan arwah abah dengan Ibu (isteri kedua). Dan Nurul ini, rasanya bagi aku, sebagai satu rahmat dan penghubung kasih antara kami semua yang masih hidup. Macam orang cakap, arwah pergi, tinggalkan nyawa baru untuk tidak menyedihkan lagi keadaan kami yang baru kehilangan.

Keletah si kecil ini, pengubat rindu pada arwah abah.
Mata saling tak tumpah macam arwah.
Pandai ambil hati, cepat belajar, dan manja dengan aku.

Janji aku pada arwah, aku akan jaga keluarga ini sebaik mungkin, InsyaAllah…
Al-Fatihah untuk Abah…

Esok saja…

Popularity: 10% [?]

Al-Fatihah Untuk Arwah Abah : Sisip 4 26

17122007a.jpg
Aku di sini, mahu ambil kesempatan, mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu meringankan beban aku ketika menguruskan hal-hal berkaitan arwah.

Kepada semua ahli keluarga sebelah arwah, sebelah Mama, sebelah Ibu, terima kasih kerana meringankan beban keluarga aku ketika semua urusan sedang dijalankan. Mereka ini sangat-sangat membantu dan hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa baik mereka-mereka ini.

Terima kasih juga kepada rakan-rakan arwah, yang datang melawat, membantu dalam urusan jenazah dan juga urusan yang ditinggalkan arwah. Terima kasih. Juga kepada kawan-kawan aku yang melawat arwah Abah dan menyedekahkan Yassin dan Fatihah kepada arwah, jutaan terima kasih. Terima kasih kepada jiran-jiran dan jemaah surau yang banyak membantu dan memberi semangat dan nasihat kepada aku. Terima kasih.

Terima kasih juga atas ucapan takziah kepada arwah dan keluarga.

Semoga Allah SWT mencucuri roh arwah dan menempatkannya di dalam golongan-golongan mereka yang beriman. Dan semoga Allah SWT memberikan aku kekuatan dalam melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab yang ditinggalkan arwah.

Amin…

AL FATIHAH…

Aku Rindu Arwah Abah…

Popularity: 14% [?]

Al-Fatihah Untuk Arwah Abah : Sisip 3 4

Rabu, 13 Disember 2007.
5.30 Pagi.

Aku dikejutkan dengan deringan telefon. Suara Sabrina (adik aku) dihujung talian. Teresak-esak. Di belakang, kedengaran suara orang menangis. Mama dan Ibu. Aku jadik risau.

“Along, abah dah takdak along, balik cepat…” aku jadi kurang percaya, terkejut, menuduh adik aku main-main.

Aku tidak tahu mahu menangis, mahu menjerit sekuat hati, atau mahu duduk diam. Orang pertama aku beritahu, adalah Dhilla. Kemudian, aku sms kepada Kaklin dan Kakjue. Aku kejut Baim, minta dia hantarkan aku ke jeti, tapi mana ada jeti seawal pagi itu. Dia menawarkan diri untuk menghantarku pulang terus ke Alot Setar. Aku terima.

Dalam perjalanan, air mata ku jatuh mengalir, tapi aku tidak tunjukkan pada Baim, aku hanya pandang ke luar tingkap. Melihat hari yang semakin lama semakin cerah. Aku SMS kepada semua rakan-rakan yang aku ingat dan sempat. Minta disedekahkan AlFatihah dan doakan urusan hari itu akan berjalan dengan lancar. Rata-rata yang balas SMS pagi itu terkejut.

Bila aku tengok rumah aku, orang sudah ramai di depan rumah. Rata-ratanya kenalan arwah Abah. Kereta berhenti, Baim keluar, aku ambil masa sedikit di dalam kereta, menarik nafas panjang panjang. Mencari sebarang jenis kekuatan yang boleh aku pegang atau guna untuk menghadapi dugaan seterusnya. Aku keluar dan menuju ke rumah. Dua tiga muka awal yang ku kenal adalah Uncle Lee, rakan baik arwah ayah sejak lama, dari duduk di KL lagi. Lain-lain adalah kawan-kawan tempat sekerja dan orang surau taman itu. Aku terus meluru masuk, Mama sambut aku didepan rumah. Mata Mama merah, aku toleh tengok adik-adik perempuan ku, keduanya teresak-esak, aku tak ingat di mana Nurul ketika itu, aku rasa, Sabrina atau Aisyah yang dukung. Air mataku mengalir lagi, teresak esak. Mama pegang lengan aku dengan kuat…

“Kalau Along nak tengok Abah, jangan menangis, Mama takmau tengok air mata langsung, jangan nangis,” pesan Mama.

Aku kesat air mata ku dengan lengan baju. Dan melangkah perlahan-lahan menuju ke bilih arwah. Sebelum aku masuk, aku bersandar di dinding, tarik nafas sekali lagi dalam-dalam, cuba cari kekuatan, sebarang yang ada. Aku masuk, terkujur kaku sekujur mayat di atas tilam. Arwah Abah dikiam dan ditutup dengan kain. Aku tidak ada kekuatan untuk menyelak kain yang menutup wajah arwah. Air mata ku sudah mula mengalir dengan laju. Aku rasa, aku ada panggil Abah beberapa kali. Belum sempat aku baca Al Fatihah, orang sudah bising-bising cari waris arwah. Aku baru sedar dan menerima kenyataan, akulah waris arwah. Aku keluar, mengadap Cikgu Mat, orang surau taman, dengan sehelai kertas, membincangkan kos pengurusan jenazah arwah.

“Pakcik buat la macam manapun, saya tak kisah, saya bayar, janji semuanya selamat dan baik-baik…” aku rasa, aku ada berkata begitu. nasib baik aku sudah keluarkan sedikit wang tunai ketika isi minyak kereta Baim di Penang tadi. Aku bangun semula, salam semua orang surau taman, kemudian keluar ke pagar depan, tengok orang-orang yang menziarahi arwah.

Ramai, ramai sangat. Aku betul betul tak sangka orang-orang ramai begini. Rata-tara kenalan arwah, rakan kerja, bekas anak murid, kemudian baru di susuli sanak saudara arwah. Semua bangsa ada, arwah sangat baik terhadap semua orang ketika dia hidup. Rata-rata rakan arwah yang bercerita tentang arwah, semuanya yang baik-baik sahaja. Arwah memang orang yang baik. Dan kebanyakan kenalan arwah, tidak percaya arwah sudah tiada, kerana sehari sebelum arwah meninggal, dia masih pergi ke tempat kerja. Arwah juga ada appointment dengan doktor hari ini. Mungkin sudah sampai ajal arwah.

Ketika aku berjalan keluar, Mama panggil aku…

“Along!” Mama menghulurkan songkok hitam kepada ku…

Songkok Abah…!

Aku sarungkan ke kepala, dengan air mata berlinang. Kemana saja aku toleh, wajah Abah ada. Aku masih boleh bayangkan Abah di keliling rumah. Toleh saja ke mana, pasti ada bayangan arwah buat sesuatu. Aku masih tidak dapat terima kenyataan, aku masih harapkan ini semua adalah sebuah mimpi, dan aku akan tersedar dari lena, dan semua ini akan pergi. Tak pernah aku terfikri arwah akan tinggalkan kami seawal ini. Aku masih boleh bayangkan dan berangan yang arwah dapat bersama aku di majlis penikahan aku, memakai baju melayu dan sampin yang sedondon dengan ahli keluarga yang lain, menguruskan majlis kenduri kahwin ku, bermain dengan cucu cucunya, dan aku menjaganya ketika dia tua kelak. Tapi semua itu, adalah kenyataan yang tidak nyata.

Aku masuk semua tengok arwah sekali lagi. Aku sedekahkan Fatihah dan membaca surah Yasin sekali. Berulang kali aku baca Fatihah. Kemudian aku bangun semula, untuk lihat mereka yang menziarahi arwah. masih lagi ramai yang berpusu-pusu datang menziarahi arwah. Ya, arwah adalah orang yang baik-baik. Kata kenalannya, dia tidak pernah menolak jika kawan-kawan meminta bantuan. Arwah adalah orang baik-baik.

Pukul 2.30 petang, orang yang datang semakin ramai. Ada dari Butterworth, Kuala Lumpur, Perak, semua turun untuk melihat arwah buat kali terakhir. Kawan arwah di Taiwan juga ada SMS mengucapkan takziah. Arwah disayangi kawan-kawannya. bagi kawan-kawan arwah, arwah serupa seperti pelindung dan penjaga mereka di tempat kerja. Baru aku tahu, arwah memang kuat bekerja. Seingat aku, selama 27 tahun aku bersama arwah, tidak pernah sekalipun aku ingat arwah ambil cuti sakit, atau cuti panjang. hidup arwah adalah dengan berkerja untuk menyara kesenangan hidup keluarganya.

Aku masih tidak makan atau minum sikitpun sampai waktu ini. masih bingung…

Pukul 3 petang. Orang dah sampai nak uruskan jenazah arwah. Jenazah arwah diangkat diletakkan di atas takung air untuk dimandikan. Aku terasa seperti berat hati mahu masuk sekali, tetapi ada sesuatu yang menolakku untuk bersama dengan tok imam dan pembantu tok imam memandikan arwah. Ketika memandikan arwah, aku cuba menahan air mata ku. Kepala arwah, belakang arwah, lengan arwah, semua aku gosok dan mandikan. Dapatlah juga aku tengok arwah dan pegang arwah. Terubat sikit rindu pada arwah ketika itu.

Segala perjalanan menguruskan jenazah arwah berjalan dengan lancar. Aku masih sebab bila melihat Mama dan Ibu mengucup Abah buat kali terakhir. Begitu juga dengan adik-adik ku. Ketika itu, kedengaran ada yang teresak-esak dan menangis. Arwah abah rupanya disayangi orang. Aku juga sayang arwah Abah.

Pukul 4 petang. Van jenazah sampai. Keranda arwah dipikul oleh ramai orang. Ramai. Aku nasib baik mendapat tempat untuk memikulnya setelah diberikan oleh seorang pakcik yang tahu aku adalah waris arwah. Ketika sembahyang jenazah arwah, ramai sangat jemaah. Ramai. Ketika arwah dikebumikan, hari sudah mendung, seakan mahu hujan. Aku berdoa supaya jangan hujan sehingga semuanya selesai. Ketika mengambus liang lahad arwah, bila aku memegang cangkul, menolak tanah ke dalam liang, mata ku mula mengalir lagi. Ketika itu, baru ku dapat terima realiti pemergian ayah. Itulah kali terakhir aku akan dapat melihat arwah. Bila aku sedikit penat, cangkul ku diambil oleh kenalan abah yang lain pula. Ramai mahu membantu, aku gunakan tangan untuk angkut tanah untuk liang abah. Ketika tok imam datang bertalkin dan berdoa untuk arwah, hari masih belum hujan. Selesai sahaja semua, dan ketika waris waris dan anak anak arwah menuang air ke kubur arwah, hujan turun rintik rintik. hanay setelah orang bersurai hujan mula turun dengan lebat.

Alhamdulillah, segala urusan hari ini berjalan lancar. Ketika itu, aku hanya rindu untuk melihat mata arwah dan melihat telatah arwah mengacau Nurul. Rindu sangat. urusan segalanya berjalan lancar, dan semuanya, atas berkat kenalan arwah yang tak putus-putus menolong, dan juga berkat sedekah fatihah dari semua kenalan arwah dan kawan-kawan aku semua. Terima kasih banyak-banyak atas doa dan segalanya, hanya Allah yang dapat membalas jasa kalian semua di akhirat kelak.

Terima kasih sekali lagi…

Popularity: 12% [?]

Al-Fatihah Untuk Arwah Abah : Sisip 2 1

Hari Selasa, aku berkesempatan berbual dengan PakChaq di YM. PakChaq baru tengok Abah malam sebelumnya. Kaki Abah bengkak. Aku mula risau. PakChaq ada tanya pada adiknya, simptom Abah sama dengan simptom sakit jantung, dan mungkin akan kena cardiac arrest. Aku jadi lagi risau. Aku tak keruan.

Sejak seminggu kebelakangan ini, semua orang yang bercakap pasal Abah sakit, semuanya tak lari mengetengahkan tentang akan berlakunya kematian Abah. Aku jadi marah bila benda-benda begini dibangkitkan. Bagi aku, Abah akan sihat. Sihat dan ceria semula. Tapi semua orang yang aku jumpa, bila bercakap pasal penyakit Abah, semuanya menjuruskan kepada pernyataan…

“NANTI BILA ABAH TAK DAK…”

Aku call Abah tengahari tu, sebelum tengahari rasanya. Marah Abah, suruh Abah pergi hospital. Abah mengiyakan saja. Aku cakap lagi…

“Abah pi jugak hospital, pi jugak! Takmau dah pi klinik ja, dengaq tak?!!!” kata aku dengan nada amat keras. Dan sesuatu yang aku tidak sangkakan berlaku. Abah jawab…

“OKKKKKKKKK!” Abah tarik perkataan OK tersebut dengan cara yang amat ganjil. Seperti kanak-kanak yang sedang bermain dengan kawan kawannya. OK Abah sangat pelik, kerana Abah seorang yang serious dan tegas, dan bila mahu cakap YA, dia akan cakap YA berulang ulang kali.

Selepas letak telefon, perasaan aku mula jadi tak senang duduk. Aku masuk ke ofis dan bercakap dengan kawan ofis, tentang Abah yang sakit. Aku tidak pernah keluar cerita pasal Abah di ofis. Jarang sekali. Tapi hari tu, rasanya perlu untuk aku luahkan pasal Abah.

Aku call Mama, cakap aku baru sembang dengan Abah.

“Abah kata dia nak pi hospital, tapi dia nak amik surat referal kat Dr. Fauzi dulu, esok InsyaAllah dia pi,” kata aku.

Dan aku teruskan kerja-kerja aku kerana mengejar dateline Isnin depan. Tak terpikir langsung pasal Abah akibat penat. Sepatutnya aku call balik Abah malam tu, dan mengingatkan Abah pergi ke hospital. Niat aku, kalau Abah degil, aku nak balik hujung minggu itu nak heret Abah ke hospital. Itu niat aku sebelum tidur malam itu.

BerSMS dengan Dhilla, malam itu baru aku bagitahu Dhilla yang Abah tak sihat, teruk sakitnya. Dhilla suruh Abah berhenti merokok, aku cakap Abah dah berhenti sudah. Kemudian aku tertidur.

Sampailah aku terima panggilan pukul 5.30 pagi yang mengubah hidup aku dan keluarga ku untuk selama-lamanya…

Popularity: 8% [?]

Al-Fatihah Untuk Arwah Abah : Sisip 1 1

Ketika aku pulang Jumaat lepas, Mama menyambutku di pintu pagar dengan Nurul. Sampai agak lewat, kesesakan lalulintas di jambatan Pulau Pinang. Arwah Abah duduk di luar rumah, ditemani Ibu yang sedang mengurut-urut tangan Arwah Abah. Arwah kelihatan penat, kurang sihat, menarik nafas dalam dalam. Aku seraya menegurnya…

“Masuk dalam Bah, sejuk kat luaq ni, bawah kipas angin…” Arwah angguk angguk.

Abah bangun masuk ke dalam rumah, setiap langkah yang diambil arwah, arwah terpaksa berhenti menarik nafas panjang-panjang dalam dalam. Penat agaknya. Risau aku, tidak pernah tengok arwah Abah sesakit begitu. harapan aku hanya sakit sakit biasa. Arwah tidak pernah sakit teruk teruk, atau dikenalpasti mempunyai penyakit yang berat berat. Arwah juga aktif di tempat kerja, bersukan dengan anak anak muda jagaannya. Jadi, sangkaanku, dan harapan ku, moga Abah sembuh dan kembali sihat.

Abah punya tabiat bila aku menonton televisyen, bila arwah lalu untuk keluar atau masuk ke dalam rumah selepas solat, arwah selalu bertanya,

“Cerita apa hang tengok ni…”

“Nie bukan cerita ….”

Hari Sabtu ketika kepulangan aku waktu arwah masih hidup, arwah sekali lagi masuk bertanya…

“I AM LEGEND tu citer alien ka?” sambil berdiri dan kedua-dua belah tangannya menyokong belakang badannya. Berdiri, dengar aku terangkan, dan kemudian berlalu. Itulah arwah Abah, cara dia menegur aku.

Kali terakhir aku pulang ketika arwah masih hidup, aku mempunyai niat untuk menunjukkan belian PSP aku kepadanya. Tidak pernah aku bila beli sebarang benda, tidak tunjuk padanya. Tapi kali ini, akibat arwah kurang sihat, aku tidak sampai hati nak keluarkan PSP dan berkongsi dengan arwah. Jadi PSP ku terperap dalam beg sampai aku pulang semula ke Penang.

Selera arwah Abah juga makin kurang. Bila Abah di meja makan, aku boleh dengar arwah tarik nafas panjang-panjang. Penat dan ambil masa untuk sesuap nasi. Aku jadi risau. Risau dan buntu. Tapi, akal ku hanya fikirkan yang baik-baik, yang arwah akan sembuh kerana arwah tak pernah ada penyakit kronik.

Ketika aku mahu pulang ke Penang, arwah Abah berada di meja makan, baru saja lepas makan dan mengambil sedikit masa untuk rehat. Aku pergi kepada Abah,

“Jaga diri Abah elok-elok, makan ubat, nanti Along balik lagi…” sambil tangannya aku salam dan cium. Itulah kali terakhir aku lihat arwah Abah bernafas.

Dalam perjalanan pulang, aku merangka rancangan untuk membeli beberapa jenis ubatan yang pernah dicadangkan kepada aku oleh ayah Dhilla. dan merancang untuk pergi ke Kuala Lumpur selepas Hari Raya Haji untuk mengambil ubat-ubat tersebut. Aku juga runsing memikirkan cara untuk pulang ke rumah hujung minggu depan, kerana aku ada aktiviti di opis dan mengejar dateline untuk report. Macam mana aku nak balik tengok abah ni?

Runsing aku…

Popularity: 8% [?]

Sekali Lagi, Kehidupan!!! 17

11122007a.jpg
Aku pulang ke rumah ibu ku di Alor Setar hujung minggu lepas. Ayah ku kurang sihat. Mati akal dibuatnya aku, tidak pernah lihat dia seteruk dan tidak sihat sebegitu. Jadik runsing dan risau. Moga Abah cepat sembuh.

Bukan tidak mahu update blog, tetapi kalau aku update blog semalam, pasti perkara yang sama akan aku tulis, kisah orang orang jaja idealogi di jalanan dan mendatangkan kesusahan pada orang-orang lain. Malaysia sudah jadi medan politik dan idealogi jalanan. Seperkara yang jarang kita lihat selalu. Banyak yang menyokong, tetapi banyak juga yang menolak. Orang mahukan keamanan, mahukan keselesaan. Entahlah. Mungkin orang kita (Malaysia) mahu tengok darah, mungkin.

Minggu ini, kerja banyak sangat. Minggu depan, satu lagi laporan akhir perlu disiapkan sebelum cuti Hari Raya Aidiladha.

Persetankan.com mengeluarkan thema yang agak mencabar. Masih lagi kurang submisi yang seperti selalunya bertalu talu. Mari KE SANA.

Sejak balik Kuala Lumpur minggu lepas, batteri DSLR masih lagi tidak bercas. Tidak ada subjek untuk di fhotografikan, malah, di sini, hampir setiap masa hujan. Jadi kurang mengeluarkannya untuk apa apa tujuan sekali pun. Perlu keluar tengok dunia. Perlu…

Sekarang, dengan ditemani kekasih gelap ku, malam-malam menjadi lebih bermakna, dan kebanyakan malam juga, tidurnya diganggu oleh rasa resah dan gelisah untuk menyelesaikan konflik dan masalah ketika memegang kekasih gelap ku. NizamNuri juga mempunyai pengalaman yang sama.

Esok saja, atau lusa…

Popularity: 10% [?]

Persetankan Edisi 26: Aku Adalah… 1

Persetankan.com datang lagi. Kali ini dengan thema yang agak mencabar.

“EDISI 26: AKU ADALAH…”

Kali ini, kontribusi menitikberatkan kepada pengisian dan ekspresi, tetapi untuk terus menjaga integriti situs tersebut, kualiti/komposisi fhoto perlu dijaga dan diperkayakan. Nah, cambahkan idea kreatif, lain dari lain untuk dikongsi bersama sahabat lain. Untuk keterangan tentang syarat dan regulasi thema kali ini, sila klik DI SINI

Apa lagi, berkarya lah…

Esok saja…

Popularity: 9% [?]

Post Satu Kali… 14

img_7210.jpg
Oh yeah…!

Esok saja…

Popularity: 9% [?]

Next Page »