Tatkala sedang menunggu azan masuk waktu Zuhor, saf-saf masih lengang menunggu kehadiran jemaah-jemaah Jumaat. Tibanya diri ini, lebih awal bukan kerana apa, hanya mahu duduk sambil membaca surah pendek untuk disedekahkan kepada arwah. Sudah lebih sebulan arwah pergi. Kehilangan arwah masih terasa.

Ketika duduk sambil merenung-renung jemaah yang makin lama, semakin ramai, terlihat kelibat seorang tua berjalan perlahan-lahan mencari ruang saf yang kosong. Atuk ini mula solat sunat. Gerakan tubuh atuk ketika takbir, ketika rukuk, ketika sujud, amat perlahan. Menunjukkan betapa kurang bertenaga otot-oto yang semakin hari semakin susut keanjalannya. Tapi atuk gagahkan juga. Atuk bangun dari sujud untuk rakaat kedua. Atuk perlu ambil masa, perlahan-lahan, mengangkat dan menolak badan ke atas. Tentu otot otot atuk sakit dan sengal. Tetapi atuk gagahkan juga, demi memenuhi kewajipan Islam.

Atuk selesai memberi salam. Kelihatan atuk tercungap cungap mencengkam nafas. Ditadahkan tangan untuk berdoa. Apalah yang diminta atuk agaknya, fikir ku. Mungkinkah meminta kepada Tuhan memberinya lebih kekuatan dalam otot otot lesu untuk terus beribadat. Atau meminta dipanjangkan lagi umur supaya ibadat-ibadatnya lebih sempurna? Wallahhualam…

Pandang kepada diri ku sendiri. Otot-otot cekang muda ini, masih boleh berfungsi dengan cemerlang. Tapi solat aku, masih tunggang langgang. Usia muda ini hanya membazir dengan mengejar benda keduniaan yang nyata tidak kekal bila nafas terhembus kali terakhir. Segala yang dikecapi hari ini, tidak ada maknanya pada hari esok. Melainkan bebanan yang dihisab di dunia akhirat kelak. Mengeluh panjang aku…

Ya Allah, Kau bukalah pintu hati ini untuk mengerjakan solat-solat ku dengan lebih sempurna dan khusyuk. Lapangkanlah masa-masa muda ku ini untuk beribadat kepada Mu ya Allah. Buangkanlah segala sifat malas dan sifat sifat mengejar dunia ini dari diri ku. Sememangnya aku ini, masih belum sempurna. Amin…

Esok saja…

p/s:- Satu lagi entri tanpa fhoto. Parah…!

Popularity: 5% [?]